بسم الله الرحمن الرحيم

* Dari Mushaab bin Saed, dari ayahnya, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: “Orang yang terpilih di antara kamu sekalian adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain” (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0213) *

Penghafaz Al-Quran Mendapat pengiktirafan Dari Nabi Muhammad s.a.w.

Telah diceritakan dalam sirah mengenai peristiwa perang Uhud dimana bilangan tentera Islam hanyalah seramai 700 orang (tidak termasuk 300 tentera yang diketuai oleh munafik yang kembali ke Madinah) menentang tentera kafir Quraish seramai 3000 orang.


Peperangan yang sengit dan penuh dengan tragedi itu berlaku dalam dua fasa. Fasa pertama telah dimenangi oleh tentera Islam.

Namun pada fasa kedua, akibat berlakunya pelanggaran arahan oleh sebahagian besar tentera pemanah yang meninggalkan posisi mereka di atas bukit Ar-Rummah untuk mengumpulkan harta ghanimah, tentera Islam telah di serang balas oleh pasukan berkuda kafir Quraish yang di ketuai oleh Khalid Al-Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal. Tentera Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan mengalami kekalahan sehingga ramai yang telah gugur syahid. Jumlah tentera Islam yang terkorban ialah seramai 70 orang dan ramai diantara para sahabat-sahabat kesayangan Baginda Rasulullah s.a.w. yang telah gugur syahid. 

Kisah Perang Uhud
Setelah peperangan berakhir dan tentera-tentera kafir Quraish pergi meninggalkan medan pertempuran, maka Rasulullah s.a.w  telah mengarahkan para sahabat untuk mengumpulkan para Shuhada’ dan menggali kubur bagi dikebumikan jenazah-jenazah mereka.

Oleh kerana jumlah korban Syuhada’ yang ramai, maka Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan agar digali satu kubur yang  muat untuk dua atau tiga orang. Kemudian Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan agar jenazah yang semasa hidupnya pernah menghafal Al-Quran yang lebih banyak perlu diberi penghormatan untuk didahulukan pengkebumiannya.

Peristiwa ini ada disebutkan didalam riwayat hadis oleh sahabat bernama Hisyam bin Amir r.a. yang mencerikan berkenaan pengkebumian ayahandanya yang gugur syahid seperti berikut:-
Dari  Hisyam bin Amir: Ketika ayahku terbunuh di medan Uhud, maka Nabi s.a.w bersabda: "Galilah kubur dan luaskan serta baguskan galiannya kemudian kuburkan setiap dua orang atau tiga orang dalam satu kubur dan dahulukan yang paling banyak hafalan Al-Qurannya". Kata Hisyam: "Ayahku termasuk salah seorang dari tiga orang yang dikubur dalam satu lubang, dan dia termasuk orang yang didahulukan sebab dia termasuk orang yang paling banyak hafalan Al-Qurannya." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1987)
Begitulah pengiktirafan yang telah diberikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. terhadap para Penghafaz Al-Quran semasa di dunia lagi. Semoga di akhirat kelak, Allah s.w.t yang Maha Besar kurniaan-Nya akan memberikan pengiktirafan serta ganjaran yang lebih besar lagi. In shaa Allah. Aamiin.

Sedikit Ringkasan berkenaan Teknik Al-Baghdadi dan Nadi Hafazan Al-Baghdadi.

Teknik Al-Baghdadi adalah kaedah pembelajaran Al-Quran yang dibantu oleh alat ketukan yang dibaca seiring dengan buku Tamhid. Sementara Nadi Hafazan Al-Baghdadi adalah kaedah yang digunakan untuk membantu pelajar-pelajar menghafal Al-Quran secara sistmatik dan mudah.

Untuk maklumat lanjut, sila klik Teknik Al-Baghdadi atau Nadi Hafazan Al-Baghdadi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...