Teknik Al-Baghdadi adalah merupakan
antara salah satu teknik alternatif pembelajaran Al-Quran yang kontemporari. Teknik
Al-Baghdadi telah diasaskan oleh seorang anak Malaysia iaitu Ustaz Jalaluddin
Hassanuddin Al-Baghdadi yang mempunyai pengalaman luas tentang pembelajaran
Al-Quran.
Ustaz Jalaluddin telah dilahirkan pada 15 Januari
1970 di Kampung Berhala Gantang, Pahang. Beliau adalah berkelulusan Ijazah
Sarjana Muda dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Al-Quran dari Universiti
Saddam, Baghdad, Iraq pada tahun 1998.
Ustaz Jalaluddin mempunyai
pengalaman dalam menyusun dan mengendalikan program berbentuk kursus dan
latihan kepada guru-guru serta ibu bapa di seluruh Negara hampir 10 tahun.
Program-program yang dijalankan adalah khusus di dalam bidang pengajaran dan
pembelajaran Al-Quran dan bahasa Arab. Ustaz jalaluddin juga mempunyai
pengalaman luas di dalam mengendalikan kursus perguruan teknik al-Barqy selama
8 tahun.
Teknik Al-Baghdadi Bermula
Teknik Al-Baghdadi telah
terhasil secara rasminya pada Mac 2009. Ianya adalah merupakan satu teknik inovasi
pembelajaran pembacaan Al-Quran yang dibantu dengan peralatan yang dikenali
sebagai ‘alat ketuk Al-Baghdadu’ yang diasas serta direka sendiri oleh Ustaz
Jalaluddin. Kini beliau gigih bergerak ke hadapan dalam rangka memperkasakan serta
mengetengahkan teknik inovasi ini.
Sehingga kini rangkaian pusat pendidikan yang dikenali sebagi Al-Baghdadi Learning Centre terus berkembang pesat selari dengan kehendak serta kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pendidikan Al-Quran.
Kaedah Pembelajaran Teknik Al-Baghdadi
Menariknya, teknik ini perlu menggunakan
‘alat ketuk’ sebagai alat bantu mengajar utama yang digunakan sepanjang
pembelajaran asas teknik Al-Baghdadi dan dibantu dengan penggunaan buku Tamhīd
Al-Baghdadi. Alat ketuk tersebut telah rekacipta khas oleh pengasasnya sendiri
bertujuan mendisiplinkan pelajar pada setiap bacaan melalui aktiviti satu
intonasi ketukan pada setiap huruf yang dibaca.
Di antara keistimewaan teknik
Al-Baghdadi adalah dengan mewujudkan satu suasana pembelajaran yang sangat
ceria dan menyeronokkan. Hasil pembacaan secara berintonasi secara tidak langsung
mewujudkan disiplin yang tinggi tanpa disedari oleh para pelajar.
Dengan penghasilan bacaan yang
seiring serta aktiviti latih tubi yang berterusan dan tidak menjemukan, ianya
berjaya menggerakkan fungsi otak kiri dan otak kanan secara serentak sepanjang
proses pembelajaran. Proses pembelajaran yang tidak membosankan ini membantu mempercepatkan
penguasaan bacaan Al-Quran sehingga ke hujung modul.
Teknik pembelajaran Al-Baghdadi
ini dilihat mampu menarik minat yang mendalam dikalangan pelajar untuk terus
mempelajari Al-Quran. Teknik ini dapat
menjimatkan tempoh pengajaran dan pembelajaran Al-Quran kerana buku yang
digunapakai adalah ringkas dan padat.
Sumber Rujukan:
Jurnal Usuluddin 40 (Julai – Disember 2014): 51-69
Keberkesanan Teknik
Iqra’ dan Al-Baghdadi: Suatu Perbandingan
Oleh: Norsyida Md Zin, Sedek Ariffin, Norhidayah Yusoff