“Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban ini, dan sampaikanlah umur kami bertemu Ramadhan.” Aaminn. Apabila sampai sahaja bulan-bulan Rejab dan Sya'ban, rata-rata para imam-imam akan memasukkan doa tersebut dalam doa selepas solat lima waktu.
Ini menandakan bahawa sudah sampai masanya untuk kita membuat persiapan menyambut bulan Ramadhan yang Mubarak. Jika dahulu umat Islam selalu disibukkan dengan persiapan-persiapan lain seperti menyambut Hari Raya, Hari Kemerdekaan, Majlis Perkahwinan, Hari Graduasi, Musim Percutian dan sebagainya, maka umat Islam kali ini perlu juga membuat penambahan dengan membuat persiapan menyambut Ramadhan agar dapat meraih hasil yang terbaik.
Rasulullah saw telah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan puasa Ramadhan bagi kalian, sedangkan aku mensunnahkan kalian untuk beribadah malam hari di bulan Ramadhan. Barangsiapa yang berpuasa dan beribadah malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh berharap pahala dari Allah, maka ia akan keluar dari dosa -dosanya seperti ketika ia baru dilahirkan dari perut ibunya." (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2174.)
Antara persiapan-persiapan rohani dan jasmani yang perlu kita rancang atau laksanakan sebelum menyambut bulan Ramadhan yang bakal kita tempuhi ini adalah seperti:-
- Doa : Teruskan berdoa dengan doa ini setiap hari sepanjang bulan Rejab dan Sya'ban -“Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban ini, dan sampaikanlah umur kami bertemu Ramadhan.” seawal bulan Rejab lagi.
- Biasakan dengan berpuasa sunat : Dari Yahya katanya: "Aku telah diberitahu oleh Abu Salamah bahawasanya Abu Hurairah pernah berkata: "Rasulullah saw telah bersabda: "Jangan ada seorang pun dari kalian yang mendahului berpuasa Ramadhan sehari atau dua hari terkecuali jika salah seorang telah terbiasa berpuasa diluar bulan Ramadhan, maka dia boleh berpuasa sunat sebelum masuk Ramadhan". (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2139.)
- Selesaikan Tugas-tugas Penting : Laksanakan sepenuhnya segala kerja-kerja yang dikhuatiri akan mengambil masa, menyibukkan atau mengganggu ibadah puasa atau ibadah waktu malam sebelum tibanya bualan Ramadhan lagi. (i.e. Ziarah Ibubapa/ Balik kampung, Percutian keluarga, mengecat rumah dan menghias rumah, menempah/ membeli pakaian baru, membuat kuih raya, servis kenderaan, kenduri kendara dan sebagainya)
- Puasa Qada' : Selesaikan puasa qada' yang tertinggal seawal mungkin.
- Ubahsuai Jadual : Ubahsuai jadual kelas/ pembelajaran untuk dilakukan waktu siang agar waktu malam dapat dipenuhi dengan ibadah-ibadah lain seperti solat sunat Tarawih, Iktikaf dan Qiamullail (Solat Tahjjud, Solat Sunat Tasbih, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Taubat, Solat Witir dan sebagainya)
- Wang Sedekah : Sediakan wang kecil secukupnya (Masukkan wang ke dalam sampul yang ditandakan hari) untuk bersedekah pada setiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Dari Anas Dunana ia berkata: "Nabi s.a.w. ditanya: "Puasa apakah yang lebih utama sesudah (puasa) Ramadhan?" Beliau menjawab: "(Puasa) Sya'ban kerana mengagungkan bulan Ramadhan". la bertanya lagi: "Sedekah apakah yang paling utama?" Beliau menjawab: "Sedekah pada bulan Ramadhan". (Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0657)
- Jadual waktu : Sediakan jadual waktu harian bagi melaksanakan untuk aktiviti-aktiviti ibadah seperti - (1) Membaca Al-Quran, (2) Menuntut Ilmu, (3) Solat Terawih, 4) Qiamullail, (5) Kerja-kerja pejabat, (6) solat berjemaah setiap waktu (7) Kerja-kerja rumah dan sebagainya.
- Perjalanan Musafir : Sekiranya anda terpaksa melakukan musafir di dalam bulan Ramadhan, cuba rancangkan untuk singgah ke mana-mana masjid berdekatan untuk menunaikan solat berjemaah dan cuba berbuka puasa di masjid agar dapat melakukan solat terawih bersama-sama jemaah lain di masjid. Ini adalah bertujuan mendedahkan kita kepada persekitaran serta menghadirkan semangat Ramadhan di dalam diri kita.
- Program Iktikaf : Rancang program untuk beriktikaf pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Biasanya Nabi saw. iktikaf pada tiap-tiap bulan Ramadhan sepuluh hari. Tetapi pada tahun di mana beliau wafat, beliau iktikaf dua puluh hari." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1003.)
- Kerjakan Umrah : Bagi mereka-mereka yang berkemampuan, rancang lebih awal untuk membawa keluarga mengerjakan umrah dan zirah ke Mekah dan Madihah. Dari Ibnu 'Abbas, dia berkata: Rasulullah saw. bersabda: "'Umrah di bulan Ramadhan sebanding dengan haji". (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 3. Hadis Nombor 2994)
- Khatam Al-Quran : Ambil peluang di bulan Ramadhan ini untuk mengkhatamkan Al-Quran sekurang-kurangnya sekali khatam dengan membaca sendiri atau sebaik-baiknya sertai program tadarus Al-Quran di mana-masjid atau surau yang berhampiran. Dari Ubaidillah ibnu Abdillah ibnu Utbah dikatakan bahawasanya Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah saw adalah seorang yang paling murah tangan, lebih-lebih lagi disaat beliau menemui Jibril disetiap bulan Ramadhan. Di setiap malam di bulan Ramadhan Jibril menemui beliau untuk bertadarus Al Quran. Di saat itulah Rasulullah saw lebih bermurah tangan dari kencangnya angin yang berhembus". (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2064)
Semoga Allah s.w.t memberi rezki serta kekuatan untuk kita melakukan ibadah puasa serta menggandakan ibadah lain dengan istiqamah sepanjang bulan Ramadhan. Seterusnya kita memohon agar dengan segala amal-ibadah yang kita lakukan akan mendekatkan kita kepada Allah s.w.t sehingga mendapat keampunan dan kerahmatan-Nya. Aaminn.
Bagi mengambil barokah menuntut ilmu serta gandaan pahala di bulan Ramadhan, kami di Al-Baghdadi Learning Centre cawangan Johor Bahru masih meneruskan pembelajaran Al-Quran Teknik Al-Baghdadi pada waktu siang. Namun, kelas-kelas di waktu malam akan dipindahkan kepada waktu siang mengikut kesesuaian bagi memberikan laluan kepada tumpuan ibadah Solat Tarawikh dan ibadah-ibadah lain pada waktu malam.
Al-Baghdadi Training Centre juga ada menyediakan program Talaqqi Al-Quran Bersanad Riwayat Hafs 'an 'Asim Tariq As Syatibiyah 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan 1437H ini terbuka untuk semua yang berminat.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-61772645/ 013-2525670 atau layari www.jomsanad.com.
Al-Baghdadi Training Centre juga ada menyediakan program Talaqqi Al-Quran Bersanad Riwayat Hafs 'an 'Asim Tariq As Syatibiyah 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan 1437H ini terbuka untuk semua yang berminat.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-61772645/ 013-2525670 atau layari www.jomsanad.com.
Semoga apa yang telah dikongsikan akan memberi manfaat kepada diri kami dan anda semua, 'Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan' dan 'Salam Ramadhan Al-Mubarak' kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.
Jom Ngaji Teknik Al-Baghdadi!
Al-Baghdadi Learning Centre Johor Bahru
Whatsapp: +6012-7221519