بسم الله الرحمن الرحيم

* Dari Mushaab bin Saed, dari ayahnya, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: “Orang yang terpilih di antara kamu sekalian adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain” (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0213) *

Neurofisiologi dan Kaitannya dengan Hafazan

Neurofisiologi adalah bidang ilmu fisiologi yang berkaitan dengan fungsi sistem saraf. Ilmu ini juga berkaitan rapat dengan neurobiologi, psikologi, neurologi, neurofisiologi klinik, elektrofisiologi, etologi, aktiviti saraf tinggi, neuroanatomi, ilmu kognitif dan ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengan otak.

Berdasarkan kajian saintifik, fungsi otak manusia adalah terbahagi kepada dua iaitu Otak Kiri dan Otak Kanan. 
Neurofisiologi dan Kaitannya dengan Hafazan
  • Fungsi Otak Kiri : Matematik, Bahasa, Membaca, Menulis, Logik, Urutan, Sistematik, Analisis.
  • Fungsi Otak Kanan : Kreativiti, Konseptual, Inovasi, Gagasan, Gambar, Warna, Muzik, Irama, Melodi, Bermimpi.
Keupayaan otak kiri dan otak kanan bekerja memproses maklumat adalah sangat hebat dan ianya saling berkaitan antara satu sama lain. Penelitian yang telah dilakukan oleh para penyelidik mendapati bahawa kedua-dua otak kita sentiasa berfungsi hampir setiap aktiviti dan waktu.

Sebagai contoh proses yang dilakukan oleh otak kanan dan kiri, ketika mendengar percakapan seseorang :-
  • Otak kiri kita akan aktif (menterjemah pengertian bahasa) memproses berdasarkan pengetahuan kita yang diperolehi selama ini. Bahagian otak kiri akan memproses kata-kata, definisi dan bahasa.
  • Pada ketika yang sama, penelitian dari Neurosains telah membuktikan bahawa otak kanan juga turut aktif memproses modulasi nada, tempo dan volume dari komunikasi tersebut. Proses yang dilakukan oleh otak kanan adalah sebenarnya lebih penting dari perkataan yang dikeluarkan. Ianya melibatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang unsur lain di sebalik perkataan yang disebutkan samada mengandungi perasaan marah, gembira, sedih, tegas, lembut dan sebagainya.
Namun begitu, setiap individu mempunyai kecenderungan untuk menggunakan fungsi bahagian otak kiri dan kanan dengan kadar yang berbeza. Sesetengah individu akan cenderung menggunakan otak kiri melebihi otak kanan dan sebaliknya. Perbezaan dari kecenderungan menggunakan fungsi otak kiri dan kana ini akan memberikan hasil yang berbeza kepada individu-individu terlibat. Individu-individu yang cenderung memproses data menggunkan otak kiri adalah berkaitan 'Logik' dan lain-lain, sementara otak kanan adalah berkaitan dengan 'kreativiti' dan lain-lain mengikut carta di atas.

Maha suci Allah yang telah menciptakan kejadian fungsi otak ini dengan sempurna dan kita hanya perlu menjaga dan menggunakannya sebaik mungkin. Penggunaan otak secara optimum adalah dengan melibatkan kedua-dua fungsi otak kanan dan kiri secara aktif dalam sebarang aktiviti yang ingin kita lakukan. 'Menggunakan Dua Otak adalah lebih baik daripada menggunakan Satu Otak sahaja'.

Dalam konteks hafazan Al-Quran teknik Nadi Al-Baghdadi, penggunaan kedua-dua otak akan diaktifkan secara serentak dan berkesan mengikut langkah-langkah dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang pembelajaran. Antara langkah-langkah yang dipraktikkan dalam teknik hafazan Nadi Al-Baghdadi ini ialah:
  • Ustaz membaca tiga kali sementara para pelajar mendengar sambil melihat bahan (pelajar fokus kepada bahan khas).
  • Ustaz mengulang tiga kali dan para pelajar mengikut ayat yang dibacakan (pelajar lihat dan rujuk bahan khas).
  • Pelajar-pelajar diarahkan mengulang bacaan secara berkumpulan (pelajar sebut sambil merujuk kepada bahan khas) – proses membaca, mendengar dan melihat bahan dilakukan secara berulang kali yang melibatkan penglibatan otak kiri dan kanan secara aktif dan optimum.
  • Proses ini akan diteruskan dengan melakukan beberapa langkah seterusnya dibawah bimbingan ustaz sehingga pelajar-pelajar mampu untuk : membaca ayat mengikut urutan, membaca ayat secara berundur, membaca ayat ganjil, undur bacaan ayat ganjil, membaca ayat genap, undur bacaan genap, membaca ayat tebuk dan sebagainya.
Aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan sangat membantu dalam menjayakan pembelajaran yang unik dan menarik sepanjang sesi pembelajaran. Kaedah yang diaplikasikan oleh teknik Nadi Hafazan Al-Baghdadi ini telah terbukti mampu menghasilkan hafazan yang mantap dan berkualiti. Ianya juga telah mendapat pengiktirafan daripada Mufti negeri-negeri.

Namun begitu dalam apa jua perkara yang ingin kita lakukan semestinya disandarkan kepada Allah s.w.t semata mata dengan banyakkan berdoa dan beristiqamah. Semoga segala amalan kita diterima di sisi-Nya sebagai amalan soleh dan sentiasa mendapat keredhaan-Nya. Aamiin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...